Sunday, June 14, 2009

Kalau

Kalau kail panjang sejengkal
Jangan laut hendak diduga
Kalau hendak diduga juga
Biar tahu merentasinya

Kalau mendengar guruh dilangit
Air ditempayan dicurah jangan
Kalau ingin dicurah jua
Pastikan cukup bekal sebulan

Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai
Kalau ingin berumah juga
Biar kukuh tiang kerangka

Wednesday, June 10, 2009

Jangan Engkau

Jangan engkau marah bila ditimpa musibah
Mungkin itu mampu menghalang engkau dari rebah
Mungkin itu menghalang engkau dari megah
Mungkin itu pahala buat mu melimpah ruah

Jangan engkau mencuka bila datangnya duka
Mungkin Tuhanmu hanya mahu menduga
Adakah engkau cintaiNya sepenuh jiwa
Melebihi segala di alam fana

Jangan engkau merintih bila kau sedih
Walau dugaan yang datang maha pedih
Jangan kau lupa Tuhanmu sentiasa kasih
Jangan kau lupa kau tidak disish

Jangan engkau merungut bila hati serabut
Nanti jiwamu makin kusut
Pohonlah taubat tanpa rasa takut
Pasti doamu akan bersambut

Sunday, June 7, 2009

Rusuk Kiri

Ku jalan langkah sudah seribu
Mencari rusuk kiri yang belum ku temu
Di padang nan luas, gurun sudah ku tuju
Di manakah rusuk kiri ku yang satu

Sukar mencari rusuk yang benar
Zahir ada seribu yang sesuai hanya satu
Serasi urat dan nadi
Agar bersatu dengan kanan ku

Sukar sungguh mencari rusuk ku ini
Melentur biar jangan ikut nafsu
Patah tak tumbuh hilang tiada ganti
Bukan macam jawatan Menteri

Andai rusuk kiri tak ku temui
Biarlah yang kanan menyendiri
Dari bercantum dengan yang tak rasi
Takut nanti merana diri

WanitaYang Aku Suka...

Wanita ini hadir tanpa ku minta
Tanpa ku rancang tiada ku duga
Kali pertama bertentang mata hati kecil ku berkata...
Inilah wanita yang aku suka

Yang pertama aku suka adalah senyumannya
Yang menggambarkan kelembutan tiada tara
Yang bisa buat aku terkesima tidur tak lena

Yang kedua aku suka adalah matanya
Yang menzahirkan luhur cinta tiada dua
Yang bisa buat aku yakin dengan setianya

Yang ketiga aku suka adalah manjanya
Yang buat aku tertawa ria
Yang buat aku tenang di kala duka

Namun yang paling aku suka adalah hatinya
Yang sabarnya buat aku dilamun cinta
Yang tulusnya buat aku tidak terkata
Yang ku tahu akan kekal selamanya

Friday, June 5, 2009

Tukang Karut

Tak sabar menunggu pagi
Untuk tabur janji manis lagi
Umpan duit berkail pangkat
Harap-harap ada yang lekat

Misai janggut diandam rapi
Rakyat tengok pun lembut hati
Harap-harap boleh dapat undi
Parlimen ok DUN pun jadi

Oh para YB
Aku sudah muak
Aku sudah jelak
Berjanji seakan Tuhan
Tapi semua tak boleh buat

Oh Yang Berhormat
Apa kau ingat kau hebat?
Semua isu konon boleh debat
Fakta kontang hujah berkarat

Oh YB Datuk
Cukup - cukuplah jadi tukang karut
Nanti rakyat tambah serabut
Negara jadi makin kalut